HILANG TAK BERGANTI



2 tahun yang lepas,  Sabtu 22 Ogos 2015 jam 11.45 pagi.
Waktu ini kami sedang sibuk berjualan di Sungai Congkak, Hulu Langat.

Ibu (ibu angkat) bertanya, "long, tak call ayah? cuba tanya dia ade kat mana, suruh la datang sini tengok bakar ayam"

"Malaslah, ntah dia tengah sibuk ke mane tau.. Dia bukan tak tau along meniaga sini harini. Kalau dia free datanglah nanti tu", balasku sambil menyusun daun pisang untuk membungkus nasi lemak.

Memang menjadi kebiasaan dari dulu lagi kami tidak pernah bertanya kemana ayah pergi selepas keluar dari rumah. Kerjaya sebagai polis (detektif @ pegawai penyiasat) banyak membataskan masa bersama kami anak beranak. Kadang-kala ayah lebih selesa tidur di balai. Biliknya saja sudah penuh dengan kelengkapan seperti di rumah. Siap bantal, toto, tuala dan alatan mandi sekali.

Aku sendiri dari kecil sudah biasa dengan rutin ayah. Banyak kali diingatkan, "Kalau ayah tak jawab call maksudnya dalam operasi".
Kalau talian disahut pun, "Ayah tengah ikut orang ni, nanti ayah call balik". Paling biasa, "Ayah tak dapat nak balik harini, esok ayah balik".

Aku, umi dan adik-adik takkan sekali-kali hubungi ayah jika bukan hal kecemasan yang menimpa. Ayah cuma akan ada di rumah pada hujung minggu sahaja. Bukan tak biasa tak brjumpa ayah. Dulu sewaktu beliau berkhidmat sebagai polis hutan pun berbulan tak balik.

Kadang-kadang bila dah terlalu sibuk dengan kerja, ayah akan call "Along masak ape harini, baby nangis ke? Ayah rindu kat baby, ajak ras datang balai jap bawak lauk sekali. Ayah pun belum makan ni". Bukan sekali dua, banyak kali. Jadi, mengertilah aku bahawa ayahku memang 'workaholic'. Beliau lagi sanggup tidur sejam dua di bawah meja sahaja. Sampai ada yang bertanya, "SM tak rindu rumah ke?". Ayah hanya tersenyum.

Selesai menyusun pisang goreng di atas redai, ibu angkatku yang sedang sarat mengandung berkata, "Ibu teringat dekat ayah la, tak tau kenapa rasa tak sedap hati". Aku hanya membalas dengan senyuman. "Ibu rehatlah, mungkin ibu penat sangat kot".

Akrabnya hubungan ibu dengan ayahku ibarat adik dan abang. Walau ada mulut jahat yang memfitnah, aku sangat senang dengan ibu. Jika niatnya jahat, takkanlah beria-ria benar dipujuknya ayah bawa umi datang berkenalan dengannya. Terasa seperti keluarga layanannya terhadap kami, langsung tidak janggal. Malah suami baru ibu pun sangat2 menghormati ayah.

Sedang jauh mengelamun teringatkan ayah, tiba-tiba hpku berbunyi. Nama ayah muncul di skrin. Serentak keluar dari mulut aku dan ibu, "Ayah"! Ibu tersenyum.

Tidak menunggu lama, terus aku jawab panggilan itu. "Hello, ayah!"
*Senyap* Tiada sahutan. Terdengar dihujung talian suara tangisan yang tersekat-sekat. "Hello, ayah?", ulangku lagi.
"Along, ayah dah takde." Tergelak aku mendengar kata-kata wanita itu. Mana mungkin aku percaya, sedangkan ayahku sihat sahaja kali terakhir kami berjumpa. Bukannya sakit terlantar. "Betul ayah dah takde long, dia rebah masa keluar dari bilik air. Datanglah cepat, polis pun dah sampai ni". Aku terus matikan talian.

Aku terkedu. Ibu mula bertanya, "Kenapa long, ayah cakap ape?" Aku memandang muka ibu, tanpa riak diwajahku "Ayah dah takde bu", balasku. "Ya Allah!", ibu menjerit. "Ras, ayah dah takde ras", ibu menangis sambil menjerit kepada suamiku yang masih terpinga-pinga, baru naik daripada sungai. Suamiku memandangku, aku hanya mampu mengangguk lemah.

Terus beliau hidupkan enjin kereta dan menyuruh ibu bersiap. Aku hanya melangkah longlai ke kereta. Seperti bingung dengan berita tadi, aku tak pasti tentang perasaanku sendiri. Separuh perjalanan aku hanya berdiam diri. Fikiranku melayang kemana. Sampai di batu 14, suasana sibuk lalu lintas sesak dengan kenderaan keluar masuk simpang, bunyi hon panjang buatkan aku tersedar dari lamunan. Ketika itulah, aku meraung sekuat hati. Suami memegang tanganku, "Ayang sabar, kuatkan semangat. Yang akan jaga ayang", katanya.

"Allah, ayah", hanya itu yang bermain di bibir sepanjang perjalanan disulami linangan air mata. "Along, jaga baby ye. Along tolong ayah ye" terngiang-ngiang suara ayah mengingatkan aku supaya menjaga anaknya yang satu itu. Anak yang istimewa, tak seperti kanak-kanak lain. Yang perlukan perhatian sepenuhnya.
Jauh di sudut hati, aku berharap berita yang aku terima sekejap tadi.

Sampai sahaja aku di rumah itu, aku terus mencari kelibat ayah. Lalu mataku terpandang ke sekujur tubur yang terbaring tenang. Seakan dalam tidur, bezanya dada itu tidak berombak seperti selalu. Terus aku melutut mencapai tangannya, mencium berkali-kali. *tiada respon* Yakinlah aku, bahawa benarlah ayahku telah kembali kepada penciptanya.

Dan hari ini, setelah dua tahun berlalu. Aku masih rasakan kehadiran ayah. Sewaktu memasak, aku rasakan seperti ayah sedang memerhatikan aku. Ajaibnya, aku sentiasa rasa beliau ada. Mungkin aku hidup dalam dunia sendiri, kerana aku hanya mula rasa kehilangan apabila orang lain mengingatkan hakikat ayah telah pergi. Entahlah.

Ayah, walaupun ayah mungkir janji kononnya nak jaga along sampai bila-bila. Along tetap pegang janji along sampai mati. Betul ayah cakap, bila ayah dah takde baru along akan faham kenapa ayah paksa along macam-macam dari dulu lagi. Ayah nak along kuat, sebab ayah tak selamanya ada. Ye, along tau. Along rindu ayah. Sangat.

Alfatihah untuk ayah.

Hidzir Isa RF94831
(01/04/1962 - 22/08/2015)

Ulasan